KUALA LUMPUR – Rancangan Uravugal Thodarkathai (Jalinan Kasih) Minnal FM berjaya menemukan sebuah keluarga yang telah terpisah sejak 37 tahun lepas.
Segalanya bermula apabila Kumar Thomas menghubungi juruhebah Minnal FM, Theyvekgan Thamaraichelvan ketika rancangan Uravugal Thodarkathai sedang ke udara.
Beliau ketika itu dengan penuh sebak dan hampir menangis menceritakan hajat untuk mencari keluarga asal dan pada masa sama, mencari jawapan sebenar berhubung identiti dirinya; apakah beliau hanya sebatang kara tanpa adik beradik.
Menurut Theyvegan, Kumar menghubunginya ketika rancangan itu sedang ke udara pada jam 5 petang dan bercerita mengenai usahanya untuk menjejak ahli keluarga dan tidak pasti di mana mereka berada pada ketika itu.
“Saya hendak tahu siapa diri saya. Saya lahir di Sungai Petani, ayah saya bernama Thomas dan pernah bekerja sebagai tukang sapu di Pasar Sentul,” luah Kumar dalam rancangan tersebut.
Susulan itu, Theyvegan dengan bantuan orang awam dan warga konti Minnal FM berjaya menjejaki keseluruhan keluarga Kumar termasuk seorang abang dan dua orang kakaknya dalam tempoh 14 hari sahaja.
Dengan menggunakan media sosial selain daripada hebahan melalui stesen radio, Theyvegan memulakan usaha menjejak dan menyatukan keluarga yang sudah terpisah lebih 37 tahun itu.
“Kumar sudah mencari keluarganya sejak bertahun-tahun namun tidak berjaya. Malah dia sebenarnya tidak tahu berapa ramai ahli keluarganya. Dengan menggunakan sedikit maklumat yang diberikan, kita berjaya menjejaki kakak Kumar, Mary Thomas.
“Mary yang hadir ke stesen turut mendedahkan Kumar sebenarnya memiliki tiga adik beradik lain yang menetap di Ampang sejak lahir.
“Saya bukan sahaja teruja malah emosional apabila pertemuan ini menjadi realiti. Bayangkan sebuah keluarga bukan sahaja terpisah untuk jangka masa panjang malah belum pasti adakah mereka berpeluang bertemu semula. Tidak terbayang oleh mereka sendiri adakah ini mimpi atau sebaliknya.
“Kumar yang hidup keseorangan tanpa kasih sayang keluarga dengan masa depan tidak pasti, kini dia bukan sahaja ada seorang abang sulung malah dua orang kakak. Sungguh menyayat hati tetapi pada masa sama, menggembirakan.
“Saya rasa bertuah juga kerana diberi peluang melakukan sesuatu yang mulia, iaitu mempertemukan keluarga ini. Tidak sangka ia berjaya malah saya masih lagi terawang-awang. Sudah tentu semua yang membantu diberi penghargaan kerana selama hampir dua minggu kita telah dihujani panggilan telefon dan lain-lain untuk membantu Kumar mencari keluarganya,” katanya.
Rancangan ‘Uravugal Thodarkathai’ setakat ini sudah mempertemukan sekurang-kurangnya 15 keluarga dan sahabat handai sejak hampir setahun setengah.
Jelas Thevyagan yang sudah berkhidmat sebagai juruhebah radio Minnal FM sejak 10 tahun lepas, hampir setiap minggu mereka akan mendapat panggilan telefon pemanggil yang mahu menjejaki insan tercinta selepas ‘hilang’ sejak sekian lama.
“Sungguh mengkagumkan apa yang kita mampu capai ketika ini apatah lagi dengan dunia serba moden dengan menggunakan media sosial sebagai alternatif. Saya bangga dan gembira dengan apa yang mampu saya lakukan. Kadang-kadang bergenang air mata mendengar cerita mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette