KUALA LUMPUR- Pihak polis diarahkan untuk menyiasat Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berhubung kebocoran rakaman video detik-detik terakhir kematian Kim Jong-nam daripada kamera CCTV di klia2 ke tangan media asing.
Bernama melaporkan, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, MAHB bertanggung jawab penuh terhadap kesemua aspek keselamatan di lapangan terbang termasuk klia2 dan polis hanya berada di sana untuk membantu.
“Ini yang perlu kita siasat (siapa yang mengedarkan CCTV tersebut) kerana ia bukan daripada polis kerana MAHB yang menguruskan lapangan terbang berkenaan.
“Pihak yang melantik petugas keselamatan adalah MAHB.
“Polis kini menyiasat MAHB berhubung individu yang menyebarkan rakaman tersebut.
“Saya tidak mahu polis dipersalahkan di atas penyebaran video berkenaan kerana MAHB perlu bertanggung jawab,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Klip yang berdurasi 2.33 saat itu disiarkan oleh sebuah syarikat penyiaran asing dan menjadi tular di media-media sosial sejak Ahad.- MalaysiaGazette