KUALA LUMPUR – Isu kesetiaan tidak timbul dalam kalangan pemimpin dan akar umbi UMNO, sebaliknya cara parti itu dikemudi, tadbir urus dan keputusan yang diambil oleh parti itu dilihat menimbulkan keadaan yang kurang senang.
Veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, kenyataan tersebut dibuat berdasarkan perkembangan mutakhir parti itu selepas pemilihan UMNO dijalankan baru-baru ini.
“Pada saya soal kesetiaan tidak timbul tetapi ada isu dalam kepimpinan. Tetapi cara pemimpin mentadbir parti itu telah mendorong kepada kritikan.
“Apabila parti kalah, ada yang meninggalkannya kerana kecewa. Ada juga melakukan kritikan secara terbuka disebabkan putus asa.
“Sekiranya berterusan mungkin mereka yang ada tidak akan duduk di dalam. Mereka akan keluar parti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Selepas kekalahan teruk dalam PRU lalu, UMNO menyaksikan tiga Ahli Parlimennya meninggalkan parti tersebut.
Mereka ialah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Ahli Parlimen Bagan Serai; Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati.
Bagaimanapun, Abdul Aziz menyifatkan tindakan segelintir ahli yang mengkritik UMNO secara lantang dan terbuka adalah tidak tepat.
Katanya, kelantangan suara yang dibuat secara terbuka menunjukkan seolah-oleh UMNO tidak mampu menyahut cabaran untuk bangkit semula menjadi pembangkang yang mempunyai kredibiliti.
“Mereka ini semua tidak ada DNA pembangkang,” katanya.
Beberapa hari lalu, bekas Ketua Pemuda parti Khairy Jamaluddin pula ‘menyerang’ parti itu kerana didakwa masih ‘pekak’ dan tidak mahu mendengar suara akar umbi.
Beliau menegur UMNO kerana memomokkan orang Melayu dengan isu remeh seperti pelantikan bukan Melayu sebagai Peguam Negara, Ketua Hakim dan lain-lain sedangkan ia adalah perkara kecil berbanding isu ekonomi, sosial dan lain-lain. – MalaysiaGazette