Home Dunia AS tolak pengecualian EU terhadap sekatan Iran

AS tolak pengecualian EU terhadap sekatan Iran

WASHINGTON – Amerika Syarikat menolak tuntutan Kesatuan Eropah untuk memberikan pengecualian kepada syarikat-syarikatnya dari sekatannya terhadap Iran.

Dalam surat kepada negara-negara Eropah, Setiausaha Negara, Mike Pompeo berkata, Amerika Syarikat menolak rayuan itu kerana ia mahu memberi tekanan maksimum kepada Iran.

Katanya, pengecualian hanya akan dibuat jika mereka memberi manfaat kepada keselamatan Amerika Syarikat.

Kesatuan Eropah bimbang perdagangan bernilai berbilion dolar terjejas akibat daripada sekatan baru Washington itu.

“Kami akan berusaha memberikan tekanan kewangan yang tidak pernah berlaku terhadap rejim Iran,” menurut surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin.

Ia menambah, Amerika Syarikat “tidak berada dalam kedudukan untuk membuat pengecualian terhadap dasar ini kecuali dalam keadaan yang sangat spesifik”.

Sekatan yang tegas itu dikenakan pada bulan Mei selepas Presiden Donald Trump menarik semula perjanjian antarabangsa 2015 mengenai program nuklear Iran.

Penarikan semula itu bermakna sekatan yang ada sebelum perjanjian itu turut terbatal.

Penentangan terhadap kesepakatan itu bertentangan dengan Perancis, Jerman dan United Kingdom yang telah berjanji untuk memberi komitmen mereka.

Beberapa firma Eropah telah mengadakan jalinan perniagaan dengan Iran selepas rundingan nuklear berkuatkuasa tiga tahun lalu.

Pada tahun 2017, eksport Kesatuan Eropah ke Iran berjumlah AS$12.9 bilion (10.8 bilion euro) dan import Iran pada blok itu bernilai 10.1 bilion euro. Nilai itu hampir sekali ganda berbanding tahun 2016. – MalaysiaGazette