BANGKOK – Kesemua 12 remaja pasukan bola sepak Wild Boars yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Chiang Rai terharu apabila mengetahui seorang bekas penyelam tentera laut Seal yang menyelamatkan mereka meninggal dunia.
Menurut laporan British Broadcast Corporation (BBC), penyelam sukarelawan, Saman Kunan meninggal dunia pada 6 Julai lalu ketika memasang tangki oksigen di dalam gua yang dipenuhi air ketika operasi.
“Mereka dimaklumkan berhubung kematian Saman pada Sabtu lalu dan kesemua remaja itu menangis dan mengucapkan takziah dengan menulis mesej di atas lukisan wajah Saman dan bertafakur selama seminit,” kata Setiausaha Kementerian Kesihatan Thailand, Jedsada Chokdamrongsuk.
“Mereka turut mengucapkan terima kasih dan berjanji untuk menjadi anak yang baik,” katanya.
Mendiang yang juga bekas penyelam SEAL Tentera Laut Diraja Thailand, Saman berusia 38 tahun itu dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Komander oleh Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn pada hari Sabtu lalu, menurut Royal Gazette.- MalaysiaGazette