KUALA LUMPUR – Kadar penyertaan tenaga buruh pada Mei 2018 naik 0.2 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.6 mata peratus berbanding 67.8 peratus pada Mei tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan tenaga buruh pada bulan Mei naik 2.6 peratus (April 2018: 2.5%) berbanding Mei 2017 kepada 15.4 juta orang.
Pada tempoh yang sama, penduduk bekerja meningkat 2.8 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus pada bulan yang lepas.
Menurutnya, kadar pengangguran pada Mei 2018 kekal 3.3 peratus bagi empat bulan berturut-turut.
Kadar pengangguran turun 0.1 mata peratus berbanding 3.4 peratus pada bulan yang sama tahun 2017. Bilangan penganggur yang direkodkan adalah seramai 504,800 orang, turun 0.5 peratus berbanding (April 2018: -0.4%) berbanding Mei 2017.
Kadar pengangguran (pelarasan musim) pada Mei 2018 kekal 3.3 peratus berbanding bulan sebelumnya. – MalaysiaGazette