KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Tahir menyifatkan tindakan pembangkang keluar dewan bagi menyatakan bantahan berhubung pelantikan Speaker Dewan Rakyat hari ini tidak lebih daripada melatih diri menjadi pembangkang.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN) itu berkata, pembangkang yang selama berpuluh tahun menjadi kerajaan kini sedang belajar untuk menjadi pembangkang dan melakukan apa yang dilakukan oleh mereka sebelum ini.
“Saya rasa orang baru jadi pembangkang, hendak ‘test ground and water’. Sedang belajar untuk membantah, sebaiknya tindakan keluar dewan hari ini tidak sepatutnya berlaku dan suasana harmoni dapat dikecapi.
“Mereka protes keluar dewan tapi kemudian masuk kembali angkat sumpah balik. Jika tidak boleh terima atau boikot, kena buat betul-betul bukan seperti ini. Nampaknya seperti mahu mencuri perhatian.
“Walaubagaimanapun, saya mahu ucapkan ‘Selamat Berlatih’ untuk menjadi anggota pembangkang selepas ini dengan lebih efektif,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu, semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai membantah pelantikan Mohamad Ariff kecuali Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dan calon bebas Masjid Tanah, Datuk Seri Mas Ermieyati yang merupakan bekas Ketua Puteri UMNO Kebangsaan.
Tindakan oleh wakil rakyat pembangkang keluar dari Dewan Rakyat kerana memprotes prosedur pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dianggap sekadar mahu mencuri tumpuan pengamal media
Sementara itu, Ketua Ahli Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan pembangkang itu hanyalah gimik kerana masing-masing masuk semua ke dalam dewan untuk mengangkat sumpah.
“Adakah tindakan keluar Dewan ini juga bermakna mereka akan boikot sesi angkat sumpah? Kerana pada saya ini tidak masuk pula.
“Sebenarnya, sejurus mereka kembali untuk angkat sumpah sudah membuktikan ini hanya sekadar gimik untuk mendapatkan perhatian media semata-mata sehingga sanggup lakukan perbuatan ini pada sesi angkat sumpah,” ujarnya. –Malaysia Gazette