Home Nasional Negara ini tidak mampu untuk membiayai projek LRT3 – Guan Eng

Negara ini tidak mampu untuk membiayai projek LRT3 – Guan Eng

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berucap pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2018 (NTC 2018) anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen KLCC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa beberapa projek mega termasuk projek LRT3 terpaksa dibatalkan atau dikecilkan kerana kerajaan terpaksa menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

“Negara ini tidak mampu untuk membiayai projek LRT3.

“Jika ada orang pertikaikan kenapa batalkan pembinaan beberapa stesen, kenapa kecilkan projek, inilah sebabnya.

“Kita mahu melakukan penjimatan dan Kabinet baru-baru ini memutuskan untuk meneruskan projek LRT3 dengan mengurangkan kos hampir RM15 bilion.

“Kita kini terpaksa membayar hutang-hutang 1MDB dan berusaha sedaya upaya supaya negara tetap mampu membayar semua hutang tepat pada masanya,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkara tersebut pada sidang media beliau selepas itu, Guan Eng berkata, keseluruhan hutang 1MDB dan firma-firma lain yang berkaitan dengannya adalah RM50 bilion dan menjelang hujung tahun ini kerajaan perlu membayar RM1.3 bilion lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci mengenai syarikat atau pihak mana yang bakal menerima pembayaran tersebut.

Difahamkan salah sebuah agensi yang bakal menerima pembayaran kerajaan itu adalah Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) yang mana pinjamannya sebanyak RM4.386 bilion kepada SRC International Sdn. Bhd. (dulunya anak syarikat 1MDB sebelum dipindahkan ke Menteri Kewangan Diperbadankan) dijamin kerajaan. – MalaysiaGazette