HONOLULU – Sekurang-kurangnya 13 orang cedera selepas debu lava Gunung Berapi Kilauea yang berterbangan terkena sebuah kapal pelancong di Hawaii.
Letupan gunung yang menyebabkan lava mengalir di sepanjang kawasan berkenaan dan serpihannya berterbangan di udara telah menyebabkan bumbung bot tersebut berlubang.
Seorang penumpang mengalami patah kaki dan yang lain dilaporkan melecur.
Pihak berkuasa masih menyiasat kejadian itu kerana dikhuatiri bot berkenaan berada di luar zon keselamatan.
Kejadian itu berlaku semasa kapal berkenaan membawa para pelancong untuk melihat aliran lava yang mengalir hingga ke laut.
Lava dari gunung berapi itu meletup pada bulan Mei lalu telah ‘memuntahkan’ gas hingga meleburkan batu-batuan.
Kesemua mereka yang cedera telah dirawat di hospital.
Kilauea adalah salah satu gunung berapi yang paling aktif di dunia dan letusannya telah menghancurkan beratus-ratus rumah dan memaksa beribu-ribu orang untuk berpindah.
Minggu lalu, saintis Amerika Syarikat berkata, aliran lava itu telah mewujudkan sebuah pulau kecil baru. – MalaysiaGazette