Home Nasional Dr Mahathir kesal idea kereta nasional kedua kurang sambutan

Dr Mahathir kesal idea kereta nasional kedua kurang sambutan

Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan perasaan kesal kerana ideanya untuk mewujudkan kereta nasional kedua nampaknya kurang mendapat sambutan.

Perdana Menteri berkata, beliau diberitahu bahawa tidak ada siapa yang ingin lihat kereta nasional kedua dibangunkan kerana beranggapan ‘cukuplah’ dengan Proton yang dikatakan gagal.

Dalam tulisan di blognya, Dr Mahathir secara sinis berkata “kita tidak layak dan tidak mampu mengadakan industri automotif.”

Rakyat Malaysia, katanya, lebih rela membeli kereta import termasuk dari China selain turut memilih kereta buatan Jepun dan kereta Jerman bagi yang lebih berkemampuan.

“Saya masih ingat kereta Jepun sejurus selepas perang. Kata pengguna kalau kita toreh dengan kuku, kita akan lihat tin Milo. Tetapi dari kereta tin Milo inilah datang aneka model Toyota, Nissan dan Suzuki yang kita guna sekarang.

“Tentulah ini tidak akan berlaku dengan Malaysia. Kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya,” katanya.Dr Mahathir menjelaskan bahawa kerajaan tidak bercadang membuat kereta nasional kedua sebagai industri automotif milik kerajaan.

Beliau menarik perhatian bahawa pihak swasta di negara ini sudah mampu mereka bentuk, membuat model tanah liat dan model ujian serta mengeluarkan secara besar-besaran kereta bermotor.

“Tetapi kerana awal-awal lagi kita sudah tolak cadangan kereta nasional kedua, maka kita akan halang segala cadangan untuk mengeluar kereta bermotor oleh swasta. Sudah tentu kerajaan tidak akan ada industri automotif milik kerajaan,” kata perdana menteri.

Dr Mahathir berkata, pasaran negara kini penuh dengan segala jenis kereta import sama ada yang berkualiti baik atau “jenis tin Milo”.

“Dikeluarkan oleh syarikat gergasi, mereka membolot pasaran kereta Malaysia sehingga tertimbuslah Proton. Akhirnya Proton dijual kepada orang asing. Tidak ada kereta nasional lagi. Tidak ada industri automotif lagi. Pekerja, jurutera, pengurus pun tidak mempunyai kerja lagi. Segala-galanya merosot.

“Malaysia menjadi negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan. Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat. Lupakanlah sahaja Wawasan 2020,” kata Dr Mahathir. — BERNAMA