KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengalami kegagalan sekiranya tidak memelihara integriti dalam sistem pemerintahan negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, sikap integriti yang dititahkan oleh yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam ucapan pembukaan Persidangan Parlimen Ke-14 hari ini perlu dijunjung dan dipraktikkan.
“Saya rasa titah baginda sangat bersesuaian dengan politik baharu yang diaspirasikan oleh PH, titah yang pendek dan padat dengan mesej jelas.
“Harap kerajaan baharu PH memastikan integriti disebut baginda benar-benar dapat diperjuangkan dan dibuktikan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Dalam perkara sama kata Salahuddin berkata, kerajaan kepimpinan PH tidak akan kekal lama dan berisiko tumbang sekiranya integriti yang ditekankan oleh baginda gagal dipraktikkan dan dilaksanakan.
“Kerajaan ini tidak akan kekal lama.. kami tidak akan bertahan kalau gagal memelihara integriti.
“Rakyat mahu integriti dikembalikan dalam pentadbiran dan kesejahteraan negara. Sistem kehakiman, pentadbiran negara mesti disanjung tinggi.
“Saya yakin untuk terus bertanggungjawab dan berperanan dalam Jemaah Menteri sepanjang menjawat jawatan ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette