Home Nasional Musa Aman masih di London – Jeffrey Kitingan

Musa Aman masih di London – Jeffrey Kitingan

Polis Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bagi merekodkan kenyataannya dengan segera berhubung siasatan laporan polis Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin terhadap Musa yang dibuat pada minggu lalu.
Musa Aman

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang kini dalam senarai orang dikehendaki Bukit Aman, nampaknya masih menyembunyikan diri dan menjalani rawatan di London, kata sekutunya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Anggota Parlimen Keningau itu berkata, beliau bercakap dengan Musa baru-baru ini dan memintanya supaya pulang ke tanah air untuk menyelesaikan isu yang membabitkan dirinya.

“Terkini, saya tahu beliau berada di London. Saya bercakap dengan beliau sekali, dalam seminggu yang lepas. Saya tanya tentang keadaannya. Beliau jawab beliau OK, dan saya memaklumkan kepadanya perkembangan terbaharu (di Sabah).

“Saya memberitahu beliau supaya pulang segera agar masyarakat tidak membuat spekulasi dan beliau menjawab: “Ya. Saya akan pulang”,” katanya kepada Bernama di lobi parlimen selepas istiadat perasmian Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di sini hari ini.

Musa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, dilaporkan melarikan diri ke London pada 17 Mei selepas mewujudkan krisis kepimpinan di Sabah.

Beliau kini dikehendaki polis berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas.

Beliau turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan menyogok Anggota Dewan Undangan Negeri. – Bernama