Home Dunia Polis tembak 11 suspek, tangkap penjenayah menjelang Sukan Asia

Polis tembak 11 suspek, tangkap penjenayah menjelang Sukan Asia

Operasi banteras jenayah besar-besaran dijalankan di Indonesia menjelang Sukan Asia bulan depan. foto Agensi

JAKARTA – Polis Indonesia telah menembak mati 11 orang penjenayah dalam operasi membanteras jenayah berat secara besar-besaran menjelang Sukan Asia bulan depan.

Berpuluh-puluh lagi juga ditembak dan 2,000 orang telah ditahan sejak operasi itu bermula 2 Julai lalu.

Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono berkata, polis melepaskan tembakan kepada 52 orang penjenayah dalam usaha menangkap mereka dan 11 mati ketika dalam tahanan.

Sukan Asia dijadualkan berlangsung di Jakarta dan Palembang dari 18 Ogos hingga 3 September. Ia merupakan kali kedua Jakarta menjadi tuan rumah. Kali pertama pada tahun 1962.

Human Rights Watch mendakwa tembakan ke atas penjenayah itu tidak akan menyelesaikan masalah keselamatan Jakarta.

“Sukan Asia tidak boleh dijadikan alasan untuk menggunakan kekerasan yang berlebihan,” kata penyelidik Indonesia kumpulan Andreas Harsono.

“Lebih baik kerajaan dan polis Jakarta untuk bekerjasama untuk memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan dan persimpangan lalu lintas, membersihkan jalan kaki dan melakukan lebih banyak rondaan,” katanya. – MalaysiaGazette