Home Politik KJ, Anifah tidak ingkar, tiada tindakan – Annuar Musa

KJ, Anifah tidak ingkar, tiada tindakan – Annuar Musa

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman tidak akan dikenakan sebarang tindakan disiplin parti seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Anifah Aman kekal di dalam dewan selepas ahli-ahli parlimen pembangkang keluar dewan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman tidak akan dikenakan sebarang tindakan disiplin parti seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, kedua-dua pemimpin itu tidak melakukan apa-apa kesalahan serius atau ingkar arahan sebaliknya hanya mengamalkan dasar kebebasan bersuara.

“Tidak ada salah, mereka tidak ingkar sehingga menyebabkan parti perlu menghukum mereka. Kita juga amalkan dasar kebebasan bersuara. Kita juga bukan boikot majlis angkat sumpah atau ‘walk out’ sebaliknya hanya meluahkan apa yang tidak betul.

“Proses memilih Speaker Dewan Rakyat tidak mengikut undang-undang seperti yang termaktub, itu yang kita persoalkan di luar Dewan, bukan boikot. Kita juga tidak keluarkan apa-apa arahan yang meminta pemimpin kita berbuat demikian. Jika benar, mungkin kita boleh katakan Khairy dan Anifah ingkar.

“Tidak ada sebarang isu mengatakan perlu dijatuhkan hukuman dalam isu, tidak perlu diperbesarkan juga. Kita hormat keputusan itu” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan Khairy Jamaluddin yang menjadi antara Ahli Parlimen pembangkang yang tidak keluar Dewan Rakyat membantah prosedur pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Annuar menjelaskan, UMNO di bawah kepemimpinan Presiden baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil pendekatan terbuka mendengar pandangan peribadi ahli parti serta meraikan perbezaan pendapat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai komen Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan juga  Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih layak menjadi Ketua Pembangkang, beliau berkata itu pendapat Azmin.

“Azmin boleh berkata apa sahaja, yang putuskan adalah kita. Kita telah putuskan, Zahid Hamidi adalah Ketua Pembangkang dan itu adalah muktamad,” ujarnya. – MalaysiaGazette