KUALA LUMPUR- Jumlah jualan kenderaan baharu meningkat sebanyak 1.8 peratus bagi enam bulan pertama tahun ini kepada 289,714 unit berbanding 284,453 unit yang direkodkan tempoh sama 2017.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), prestasi positif itu disumbang peningkatan segmen kenderaan penumpang sebanyak 2.1 peratus kepada 261,043 unit manakala segmen kenderaan komersil mencatatkan penurunan 0.1 peratus kepada 28,671 unit.
Jumlah jualan pada Jun 2018 adalah yang tertinggi dalam tempoh dikaji sebanyak 64,502 unit, meningkat 50.1 peratus berbanding 42,983 unit pada Mei 2018.
“Peningkatan dalam jumlah jualan pada Jun 2018 adalah berikutan permintaan tinggi terhadap kenderaan susulan pengurangan dalam harga kereta dan promosi Hari Raya menarik ditawarkan anggota MAA,” kata Presidennya, Datuk Aishah Ahmad dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aishah berkata, dalam tempoh enam bulan 2018, jualan keseluruhan industri (TIV) adalah berjumlah 289,714 unit, yang mewakili 49.1 peratus unjuran asal MAA sebanyak 590,000 bagi tahun ini.
Beliau berkata, berikutan faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu, MAA membuat semakan semula unjuran TIV bagi 2018 kepada 585,000 unit.-MalaysiaGazette