KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah melantik firma undang-undang Singapura sebagai peguam cara untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap 53 individu dan syarikat untuk menuntut dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut sumber, Peguam Negara Tommy Thomas meluluskan pelantikan firma, Tan Rajah & Cheah, awal minggu ini.
Sumber itu berkata, kerajaan Malaysia akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Singapura terhadap 53 defendan untuk mendapatkan semula wang milik 1MDB.
Sumber itu berkata, Thomas telah bertemu Peguam Negara Singapura Lucien Wong baru-baru ini untuk memudahkan urusan pemulangan pulangan wang 1MDB yang dibekukan oleh pihak berkuasa Singapura.
Defendan-defendan itu termasuk ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.
“Perintah mahkamah perlu untuk mengeluarkan wang itu kepada 1MDB atau Kerajaan Malaysia,” kata sumber itu.
Malaysia perlu melantik peguam dari Singapura untuk memfailkan tindakan itu kerana peguam Malaysia tidak boleh hadir di mahkamah Singapura.
Pada 31 Mei, Pasukan Petugas Khas 1MDB, dalam satu kenyataan berkata, Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk bekerjasama untuk membawa kembali wang 1MDB yang diselewengkan 1MDB. – MalaysiaGazette