YANGON – Bantuan kemanusian dari Malaysia untuk komuniti etnik Rohingya telah tiba di ibu negeri Rakhine, Sittwe, di barat Myanmar.
Kapal yang membawa bantuan tersebut memunggahkan muatannya di pelabuhan Yangon kira-kira dua minggu lalu.
Pajabat Kaunselor Jawatankuasa Maklumat Negeri Myanmar (SCOIC) menerusi laman Facebooknya hari ini mengumumkan bekalan yang dibawa oleh sebuah kapal tentera telah tiba dari Yangon.
Katanya, sumbangan tersebut akan dihantar ke 190 buah kampung dan kem-kem mereka yang kehilangan tempat tinggal di Rakhnie seperti Sittwe dan Maungdaw pada 25 Februari ini, lapor Dhaka Tribune.
Kerajaan negeri Rakhnie dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa akan membantu mengedarkan bantuan tersebut.
Berjumlah kira-kira AS$1.1 juta, sumbangan seberat 500 tan dari Malaysia merangkumi mi segera, barangan penjagaan kebersihan dan air mineral.
Bekalan tersebut bertujuan membantu etnik Rohingya yang terkesan daripada serangan pada 9 Oktober di tiga pos sempadan Rakhnie di mana di Maungdaw seramai 10 anggota keselamatan terbunuh.
Sejak serangan itu, pihak berkuasa telah menutup kawasan tersebut dan melakukan operasi mengenalpasti dalang dan suspek yang terlibat.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, operasi keselamatan yang dilakukan menyaksikan 70,000 etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh selain 20,000 orang lagi baharu kehilangan tempat tinggal di Rakhnie.
Dakwaan kekejaman tentera seperti membunuh, melakukan tangkapan sewenang-wenangnya dan merogol etnik Rohingya timbul sejak 9 Oktober lalu.
Myanmar menafikan kebanyakan daripada dakwaan itu. Negara itu tidak mengiktiraf etnik Rohingya, menyifatkan mereka sebagai pendatang haram dari Bangladesh.
Malaysia merupakan antara negara yang bersuara lantang terhadap Myanmar, menuduh negara tersebut tidak bertindak terhadap kekejaman yang dilakukan itu.
Negara itu cuba menghantar dan menyerahkan sumbangan kepada etnik Rohingya, namun kerajaan Myanmar menentangnya dengan menyatakan pihak berkuasa tempatan akan mengedarkan bantuan berkenaan secara adil, memastikan kedua-dua komuniti, Buddha dan Muslim Rohingya menerima bekalan tersebut.
Malaysia juga telah menghantar kira-kira 2,000 tan bantuan kemanusiaan ke Bangladesh, di mana etnik Rohingya mendapatkan perlindungan di negara itu.