Katanya, banyak projek pembinaan dan pembangunan sedang berlangsung di negara ini yang membabitkan kerja-kerja kejuruteraan, dan dalam hal ini, ASEAN M&E Show 2018 yang sedang berlangsung di sini dan dianjurkan oleh UBM adalah acara yang penting.
“Ini adalah antara acara yang sangat penting untuk sektor kejuruteraan. Di Malaysia, terdapat banyak kerja pembinaan dan pembangunan sedang berlangsung dan sektor ini adalah komponen penting kepada ekonomi,” kata Gandhi.
Katanya, pengilang, kontraktor, jurutera dan mereka yang terbabit dalam industri mekanikal seharusnya memanfaatkan acara selama tiga hari itu yang bermula semalam.
Bercakap kepada Bernama News Channel, Gandhi berkata, di waktu Malaysia sedang bergerak menjadi ekonomi berasaskan perkhidmatan yang pelbagai, sektor ini berterusan memainkan peranan penting dalam ekonomi sebagai gelombang seterusnya untuk perniagaan dan peluang pelaburan.
Edisi ketujuh acara perdagangan itu memaparkan lebih 400 syarikat tempatan dan antarabangsa daripada 30 negara termasuk lima astaka antarabangsa oleh Jerman, China, India, Singapura dan Korea Selatan.
Kebanyakan pempamer di ASEAN M&E Show menggunakan ruang ini untuk mempromosi dan mewujudkan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan mereka selain bertemu dengan rakan niaga berpotensi bagi mengembangkan pasaran mereka.
Satu daripada pempamer, Elektro Serve (M) Sdn Bhd, adalah syarikat peneraju dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal di rantau ini, kata Ketua Pegawai Teknologinya, Kirk Jean Belian.
Katanya, disebabkan kurang dari segi pemasaran, tidak banyak pengguna yang sedar mengenai syarikat itu, dan ini adalah penyertaan sulung mereka dan acara perdagangan itu.
“Ini adalah penyertaan pertama kami pada pameran ini. Kami datang bersama rakan niaga dari Peranchis untuk memulakan proses pemasaran. Kami adalah syarikat yang besar tetapi tidak ramai yang tahu akan kami,” tambahnya.
Skop perkhidmatan Electro Serve meliputi motor elektrik, generator, alat ubah, pam, pemampat, penukar suis dan sistem bekalan tenaga tidak terganggu, selain menguruskan peralatan berat untuk minyak dan gas.
Pengarah Urusan sebuah lagi syarikat pempamer, Aerial Lift and Equipment, Kang Han Fei, berkata permintaan terhadap peralatan syarikat berkenaan semakin kukuh memandangkan fokus industri adalah terhadap produktiviti dan keselamatan.
Aerial Lift and Equipment sedang meninjau untuk mengembangkan pasaran luar negaranya.
“Sebab utama kami menyertai ASEAN M&E Show adalah untuk mempromosikan kesedaran terhadap produk kami terutama dari segi keselamatan. Kami menyasarkan untuk bertemu pengunjung antarabangsa. Kami sudah mengeksport peralatan kami ke negara di rantau ini termasuk Vietnam, Filipina dan China,” tambah Kang.
Sementara itu, anak syarikat milik penuh Sarawak Cable Bhd, Leader Cable Industry Bhd, bukanlah asing kepada ASEAN M&E Show.
Pengarah Urusannya, Azhar Ariffi, berkata syarikat itu mengambil bahagian dalam setiap acara yang diadakan di Malaysia.
“Melalui penyertaan ini, kami dapat bertemu pelanggan berpotensi dalam semua sektor dan berharap mendapat tempahan daripada mereka,” tambahnya.
Meliputi ruang pameran seluas 10,000 kaki persegi, ASEAN M&E Show 2018 — pameran mekanikal, elektrik dan kejuruteraan terbesar di rantau ini – diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Acara ini dijangka menarik 15,000 pengunjung dari kalangan pengilang, kontraktor, jurutera dan mereka yang terbabit dalam industri pemanasan, pengudaraan dan pendingin hawa serta penyejukan dan mekanikal. – BERNAMA