SHAH ALAM – Nama calon UMNO yang dipertaruhkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan diumumkan petang esok.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata pengumuman itu akan dibuat oleh timbalan presiden parti yang juga pengarah jentera UMNO bagi PRK tersebut, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata pihaknya telah menyenarai pendek beberapa nama yang dicadangkan ketika mesyuarat bersama Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.
“Kita dah bincang dan menyenarai pendek beberapa nama yang dibawa (dicadangkan) oleh UMNO Bahagian Kota Raja dan yang diterima oleh UMNO Pusat. Hari ini kita akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan UMNO bahagian untuk buat penilaian akhir.
“Jika tiada aral insya-Allah nama calon UMNO untuk PRK DUN Sungai Kandis akan diumumkan oleh timbalan presiden (Mohamad) di bangunan UMNO Kota Raja pukul 4 petang esok,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mat Nadzari dalam pada itu berkata pelantikan Mohamad sebagai pengarah jentera UMNO bagi PRK DUN Sungai Kandis telah diputuskan pada mesyuarat tersebut.
Katanya, mesyuarat turut membuat ketetapan bahawa pada PRK itu calon UMNO akan bertanding menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) dan bukan lambang parti.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).
Sementara itu, nama calon PKR bagi pilihan raya kecil tersebut dijangka diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis pelancaran jentera parti PRK DUN Sungai Kandis di Padang Rakyat, Kampung Jalan Kebun di sini, malam ini.
— BERNAMA