KLANG – Pengetua Maahad Tahfiz Al-Fateh, Jalan Kebun, dekat sini, Mohd Zawawi Ahmad Mughni diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) Selangor untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.
Nama pengetua itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis pelancaran jentera Keadilan PRK DUN Sungai Kandis di Padang Rakyat Jalan Kebun, malam tadi.
Menurut Dr Wan Azizah, Mohd Zawawi dipilih daripada beberapa nama yang disenaraikan PKR Selangor dan dipersetujui PH negeri itu untuk bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) yang akan diumumkan petang ini.
“Kita ada ramai yang layak, tetapi kita hendak memilih seorang daripada mereka,” katanya di hadapan jentera dan penyokong PH.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR, Amirudin Shari; Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar; dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya II, Azmizam Zaman Huri.
DUN Sungai Kandis nama baharu bagi DUN Sri Andalas kosong berikutan kematian penyandangnya, Mat Suhaimie Shafie akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Pada PRU14 lalu, Allahyarham Mat Suhaimie memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 23,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).
Menurut Dr Wan Azizah, beliau mahu PKR kekal menang di DUN berkenaan dan meminta semua jentera bekerja keras untuk kemenangan itu.
Mohd Zawawi berkelulusan Sarjana Muda (Bahasa Arab) dari Universiti Al Azhar, Mesir, pada 1995 dan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dari Universiti Malaya pada 2005 adalah ahli PKR dan terbabit dalam politik sejak zaman reformasi lagi.
Beliau yang bergerak sebagai penceramah dalam kempen dan program kesedaran, membawa pelbagai isu antaranya membabitkan Islam dan Melayu, keadilan untuk semua, penyelewengan dan rasuah.
Mohd Zawawi juga adalah Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat. – MalaysiaGazette