Home Nasional Melaka tunggu ujian kedua siasat kes rotavirus

Melaka tunggu ujian kedua siasat kes rotavirus

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka membuat ujian makmal kedua bagi menyiasat dakwaan terdapat kes Rotavirus di negeri ini seperti yang viral dalam media sosial sejak beberapa hari lepas.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, sampel kedua air pancut yang diambil di Dataran 1Malaysia di Klebang dihantar ke makmal Kementerian Kesihatan di Kuala Lumpur dan keputusan ujian akan dapat diketahui dalam tempoh tujuh hari.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mendapati ujian pertama sampel air pancut itu bebas daripada kehadiran sebarang virus yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

“Kita telah dan sedang menjalankan siasatan dan mendapati bahawa tiada virus kencing tikus sepertimana yang didakwa oleh orang ramai menerusi viral dalam media sosial baru-baru in,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Komuniti 2016 dekat sini malam tadi.

Ismail berkata, sebelum kes ini berlaku, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah meletakkan tanda larangan untuk mandi di lokasi berkenaan namun ianya mungkin tidak diendahkan oleh orang ramai terutamanya kanak-kanak. – MalaysiaGazette