KUALA LUMPUR – Isu pemakaian kasut hitam yang diumumkan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik nampaknya menjadi bualan masyarakat.
Baik di alam maya atau di kedai kopi, ia menjadi perhatian ramai dan isunya antaranya kewajaran menukar pemakaian kasut putih kepada hitam.
Sebelum ini, kasut hitam adalah hak eksklusif pengawas atau pelajar tingkatan enam sahaja.
Tidak mahu ketinggalan bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim turut mempertikaikan tindakan yang sepatutnya diutamakan oleh kementerian pendidikan adalah perihal disiplin dan hal ehwal pelajar berbanding kasut.
Bagaimanapun ramai juga yang menyenangi peraturan baharu yang mula berkuat kuasa tahun depan itu seperti tinjauan Malaysia Gazette semalam.
Suri rumah, Nik Azura Abu Bakar, 52, yang mempunyai anak berusia 17 tahun juga menyambut baik insiatif itu.
Katanya, walaupun nampak ianya perkara kecil namun sebenarnya ia lahir daripada kehendak majoriti ibu bapa.
“Memang baguslah untuk anak lelaki yang lasak walaupun ini bukan perubahan besar. Kalau tahun depan tu baguslah, memang tak berapa penting sangat tapi ibu bapa rasa ia bagus,” katanya.
Bagi Zanariah Abdul Wahab, 44, yang mempunyai anak yang masih bersekolah menengah dan sekolah rendah melihat ia satu peraturan yang memudahkan dalam penjagaan kebersihan.
Apatah lagi katanya kebersihan juga sering dikaitkan dengan disiplin anak-anak.
“Pada pendapat saya, ia lebih memudahkan, ia untuk kebersihanlah sebenarnya.
“Warna kasut pun memainkan peranan sebenarnya sebab kasut putih mudah nampak kotor nampak macam pelajar tidak tahu jaga diri dan kebersihan,” katanya.
Namun bagi pelajar tingkatan satu , Mohd. Zafran Iqbal, 13, kasut putih lebih menjadi pilihannya kerana ia lambang pemakaian seragam sekolah sejak dahulu lagi.
“Bagi saya kasut warna putih lagi bagus, macam seragam dengan baju sekolah sudah biasa pakai kasut putih.
“Saya rasa disiplin lagi penting dari tukar warna kasut,” ujarnya.
Berbeza pula dengan pelajar tingkatan lima, Nur Ezlyn Syamir Zulkifli, 17, dia dan rakan-rakannya ralat kerana tidak sempat memakai kasut hitam kerana mulai tahun depan dia tidak lagi berada di alam persekolahan.
“Saya lagi suka adik-adik saya pun sekolah rendah, emak selalu membebel kasut cepat kotor, jadi kalau kasut putih cepat kotor.
Jelas walaupun peraturan baharu itu sekadar perubahan komestik namun ia mengundang rasa gembira dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa walaupun ramai juga menganggapnya tidak penting.
Apa pun, ia berjaya melupakan sebentar isu ‘berperisa politik’ berhubung perlaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang sedang hangat melanda Kementerian Pendidikan sekarang. – MalaysiaGazette
Baca selanjutnya:
Dakwaan hasil jualan kasut hitam ke Tabung Harapan adalah fitnah
Disiplin lebih penting daripada kasut hitam – Rais Yatim
Tiada lagi kasut putih bagi pelajar sekolah mulai tahun depan