Home Nasional Media luar rujuk berita tempatan kes Jong-nam

Media luar rujuk berita tempatan kes Jong-nam

Seorang petugas media antarabangsa membaca surat khabar tempatan berkenaan kes kematian Kim Jong-Nam ketika membuat liputan di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Petugas media antarabangsa yang ‘berkampung’ di Institut Perubatan Forensik Negara merujuk media tempatan sebagai sumber berita.

Selain akhbar, portal-portal tempatan turut menjadi rujukan mereka sama ada ianya berkaitan gambar mahupun kandungan berita.

Wartawan Tokyo News Broadcasting (TBS) yang enggan dikenali mengakui laporan media Malaysia membantu pihaknya memperkemaskan laporan ke agensi berita mereka.

“Ini negara mereka sudah pasti mereka (media Malaysia) lebih tahu tentang selok belok apa yang berlaku di sini.

“Kami merupakan tetamu dan bantuan daripada mereka (media tempatan) memang amat kami perlukan,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini hari ini.

Sekumpulan wartawan dari agensi media tempatan dan asing kini ‘berkampung’ di Hospital Kuala Lumpur sejak Jumaat mengawasi tempat mayat abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong -nam ditempatkan.

Mereka berkumpul 24 jam dan wartawan serta juru gambar bersilih ganti dari semasa ke semasa.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-II didakwa dibunuh oleh dua orang wanita di bawah arahan ejen Korea Utara.

Jong-nam secara terbuka mengkritik penguasaan dinasti keluarganya di negara itu.

Polis juga mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 pada Isnin ialah Kim Jong-Nam. – MalaysiaGazette