Home Nasional Dakwaan SST naikkan harga barang tak berasas

Dakwaan SST naikkan harga barang tak berasas

Reaksi ceria Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) diiringi Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2018
Reaksi ceria Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) diiringi Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2018

PETALING JAYA – “Dakwaan bahawa Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) akan  menaikkan harga barang sebagaimana yang berlaku kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah tidak benar,”

Itu  kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tambah beliau, tidak semua barang akan dikenakan cukai SST sebanyak 10 peratus kerana akan ada jenis-jenis barangan yang tidak akan dikenakan langsung cukai tersebut.

“Dakwaan kononnya SST menaikkan harga itu tidak benar, tiada asas.

“Yang mereka kata SST akan naikkan harga barang tetapi bukan jumlah SST 16 peratus, ada barang-barang tertentu tidak dikenakan SST sama sekali,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Ujarnya lagi, banyak barangan yang dikenakan GST pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak akan dikenakan cukai sekiranya SST dilaksanakan.

“Ada yang dikenakan hanya lima atau 10 peratus, itu bergantung pada barang terlibat,” katanya lagi.

Isu SST semakin hangat apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui SST tidak telus dan bakal memberi kesan terhadap barangan pengguna.

Malah Guan Eng turut mengakui GST lebih telus berbanding cukai SST.

SST bakal dilaksanakan 1 September ini bagi menggantikan GST yang dilaksanakan BN pada 2015.

Dalam pada itu, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, parti itu akan menggunakan kembali nama Bersatu yang tidak diberikan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada tahun 2016.

“Kita telah bersetuju dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PPBM dan diterima bahawa PPBM akan guna Bersatu sebagai nama parti dan slogan parti.

“Dulu kita tidak boleh guna kerana ada bantahan dari pihak berkuasa sekarang kita berkuasa maka kita boleh buat perubahan,” katanya lagi.

RoS sebelum ini pernah menolak permohonan PPBM untuk menggunakan nama ‘Bersatu’ dengan alasan sudah lebih enam parti lain yang menggunakan perkataan tersebut. -MalaysiaGazette