KUALA LUMPUR – Pengalaman sebagai pelajar di sebuah universiti awam di Korea Selatan menjulang nama Ahmad Fouad Abdul Mubin sebagai pemenang Sayembara Menulis Cerpen 2016 anjuran Universiti Malaya (UM) dan Gallery Book Store (GBS) hari ini.
Mahasiswa jurusan Antropologi Universiti Kebangsaan Chonnam Korea Selatan berusia 27 tahun itu menang dengan mempertaruhkan cerpen bertajuk Kimchi.
Menurutnya, cerpennya menceritakan bagaimana adat resam dan budaya sesebuah negara itu mampu mengubah pandangan masyarakat.
“Cerpen Kimchi adalah cerita mengenai pemilik restoran yang saya gambarkan semasa belajar di Korea Selatan dulu. Restoran itu tidak ramai pelanggan yang datang kerana kimchi dia tidak sedap, jadi saya letakkan watak seorang warga emas wanita yang memberikan dia kimchi yang dibuat cara tradisional.
“Sebelum ini pemilik kedai itu hanya ambil dari pembekal secara pukal dan mengurangkan kualiti kimchi. Dalam cerpen ini saya ketengahkan kepentingan budaya Korea.
“Jadi nilai sebegitu saya cuba selitkan untuk penulisan cerpen ini,” katanya.
Ahmad Fouad membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta piala, manakala Nuratiqah Abdul Rahim, 20 yang menulis cerpen berjudul Koceng Cengko di tempat kedua yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500 dan piala.
Bagi Nuratiqah, cerpennya bertemakan kemanusiaan dan mahu membuat kelainan dengan ‘menghidupkan’ watak haiwan dalam elemen kemanusiaan.
“Saya memerhati alam sekeliling dan melihat kucing jalanan yang terbiar dan dapat idea untuk menulis cerpen ini,” jelas pelajar jurusan Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara itu.
Tempat ketiga dimenangi Ahmad Azwadie Azman yang menulis cerpen bertajuk Saute dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sayembara Menulis Cerpen 2016 dirasmikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Datuk Dr. Rohana Yusof yang disaksikan Pengarah Urusan GSB, Datuk Salleh Saidin.
Julung kali diadakan, pertandingan itu rata-ratanya mengangkat karya mahasiswa dan mahasiswi tempatan dan di luar negara dan dijadikan satu antologi cerpen.
Sayembara yang sama mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 400 cerpen karya mahasiswa dari institut pengajian tinggi awam dan swasta dari dalam dan luar negara.
Setelah dinilai oleh panel empat hakim peringkat saringan dan tiga panel hakim peringkat akhir maka lima cerpen telah dipilih memenangi hadiah utama dan hadiah saguhati.
Menurut ketua juri, Prof. Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan, cerpen Kimchi dipilih kerana olahan luar biasa terhadap rangkuman budaya dan ada resam masyarakat Korea Selatan yang berbeza daripada cerpen-cerpen yang memasuki pertandingan ini, justeru mengangkat nukilan Ahmad Fouad sebagai juara.
“Cerpen ini luar biasa berbanding cerpen lain. Ada penyelidikan dalam kalangan masyarakat Korea. Golongan tua yang punya ilmu dan dikehendaki oleh golongan muda disana. Jadi ini yang menarik sebab lain daripada yang lain.
“Ada rangkuman budaya masyarakat dan adat resam dan cara buat kimchi. Itu yang membuatkan cerpen ini menjadi juara,” katanya dalam sidang media hari ini.
Secara objektifnya, program seumpama itu sedikit sebanyak berjaya menyumbang industri kreatif melalui pencarian bakat daripada kalangan pelajar menara gading.
Ia sekaligus menjadi platform memartabatkan bidang kesusasteraan dan bahasa Melayu dengan memperbanyakkan penerbitan bahan sastera yang bermutu serta memupuk budaya membaca.
Atas sambutan yang menggalakkan, Sayembara Menulis Cerpen akan turut diteruskan tahun depan dengan banyak lagi hadiah-hadiah menarik menanti peserta. -MalaysiaGazette.