BANGI – Kerajaan akan mengambil alih Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang telah direncanakan kerajaan terdahulu.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semua cadangan dan pandangan yang diutarakan anak muda di negara ini dalam program tersebut akan dikaji dan direalisasikan mengikut acuan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kita sudah ada kanvas TN50 dan berkait rapat dengan pandangan yang diutarakan anak muda dan kita dalam proses ambil alih pandangan ini dan akan diterjemahkan dari segi dasar.
“Ada banyak cadangan dan inspirasi yang terkandung dalam Kanvas TN50, dan perkara itu akan dijawab di Parlimen,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Majlis Belia Malaysia (MBM) kali ke 5 di Bangi Avenue hari ini.
TN50 yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan untuk memaparkan aspirasi belia dan idea-idea inovatif yang datang daripada suara hati akar umbi dalam merealisasikan matlamat TN50.
Sepanjang pelaksanaan program itu, hampir dua juta belia Malaysia telah didampingi sepanjang tahun 2017.
Kanvas TN50 kini memaparkan 62,000 aspirasi anak muda yang bertujuan bagi mencerminkan sebuah rupa bentuk Malaysia yang diingini anak muda Malaysia ketika negara melangkah melepasi tahun 2020.
Antara sasaran TN50 berkaitan yang dicadangkan oleh belia ialah untuk Malaysia mempunyai juara dunia dalam pelbagai industri di peringkat dunia dan diiktiraf antara 20 negara teratas dalam Indeks Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF). -MalaysiaGazette