Home Politik Wan Azizah kekal TPM jika Anwar Presiden PKR

Wan Azizah kekal TPM jika Anwar Presiden PKR

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri jika suaminya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menang jawatan Presiden pada pemilihan parti itu akan datang.
Dr Wan Azizah Wan Ismail

KOTA KINABALU – Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri jika suaminya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menang jawatan Presiden pada pemilihan parti itu akan datang.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini Anwar tidak mempunyai locus standi menjawat jawatan dalam kerajaan, manakala Wan Azizah, yang juga anggota Parlimen Pandan, telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Kalau Datuk Seri Anwar kemudian nanti menjadi presiden PKR, beliau akan kekal jadi presiden.

“(Untuk menjadi timbalan perdana menteri) Datuk Seri Anwar perlu bertanding menjadi anggota parlimen. Kita belum sampai tahap itu lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Presiden PKR bersama anggota PKR Sabah di sini hari ini.

Saifuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ditanya pemberita mengenai kedudukan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri jika Anwar dipilih menjadi Presiden PKR.

Anwar dijangka menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden PKR pada pemilihan parti akan datang, manakala Wan Azizah dijangka memberi laluan untuk Anwar berbuat demikian.

Saifuddin turut memaklumkan konsensus PH yang dibuat pada 6 Jan lalu jika menerajui kerajaan ialah Tun Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri dan Wan Azizah menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala Anwar akan dilantik ke dalam kabinet apabila beliau dipilih menjadi anggota Parlimen kelak.

Oleh itu, beliau berkata usul untuk mengekalkan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri jika tidak menerajui PKR sebagai presiden pada pemilihan parti akan datang tidak akan timbul.

— BERNAMA