KUALA LUMPUR – Peningkatan pendaratan ikan atau musim ikan banyak yang
sedang berlaku sekarang disebabkan faktor musim ikan matang terutamanya ikan kembung.
Jabatan Perikanan berkata, trend pendaratan ikan kembung menurun pada bulan Januari hingga Mac dan akan meningkat mulai April setiap tahun.
Berdasarkan kajian Jabatan Perikanan Malaysia, stok ikan kembung akan
mula tertangkap oleh pukat nelayan mulai April yang mana ini berkait dengan musim bertelur yang mengambil masa anggaran lapan bulan untuk ikan matang.
Menurutnya, ikan kembung juga merupakan sumber yang dikongsi dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Myanmar dan peningkatan pendaratan pada masa ini disebabkan sumber bergerak ke perairan Malaysia termasuk perairan Thailand dan
Indonesia.
“Semasa bulan Julai, ikan ini didapati telah berada di kawasan perairan Malaysia, oleh itu peningkatan sumber Kembung Pelaling boleh berlaku dan memberi keuntungan kepada
nelayan tempatan di Pantai Barat Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jabatan itu menambah, ikan kembung adalah antara spesies ikan pelagik yang mudah diperolehi di kawasan perairan Malaysia dengan menggunakan peralatan pukat jerut dan juga pukat hanyut.
“Ikan ini berhijrah mengikut taburan plankton dan juga suhu permukaan laut. Terdapat dua spesies utama ikan kembung di Malaysia, iaitu spesies R. kanagurta (Kembung Borek) biasanya berada lebih jauh ke lautan dan R. brachysoma (Kembung Pelaling) yang
senang diperolehi di kawasan pantai,” ujarnya.
Stok ikan meningkat hasil dari pemuliharaan sumber dan penguatkuasaan peraturan perikanan yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan, selain inisiatif bersama negara-negara ASEAN di bawah platform SEAFDEC untuk pengurusan sumber perikanan secara mapan.
Sejak tahun 2003 hingga 2016 menunjukkan pendaratan Kembung Pelaling adalah melebihi 2 kali ganda dari Kembong Borek dengan rekod tertinggi mencecah 60,000 tan metrik pada tahun 2010.
Dengan mengambil kira aliran pendaratan yang sama, jangkaan pendaratan untuk
2018 adalah meningkat melebihi paras untuk tahun 2017 yang mencatatkan pendaratan Kembung Pelaling sebanyak 80,200 tan metrik.
“Fenomena ini dilihat seiring dengan peningkatan Kembong Pelaling yang berlaku sekarang, yang mana pergerakan arus di perairan ini meningkatkan jumlah fitoplankton sebagai makanan ikan dan mendorong ikan bergerak ke kawasan ini,” katanya.
Menurut Jabatan Pertanian, terdapat peningkatan stok baru memandangkan nelayan pukat hanyut dapat menangkap ikan itu di kawasan pantai 2 hingga 3 batu nautika berbanding terpaksa pergi jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan. – MalaysiaGazette