Home Nasional Biar kami jadi pembangkang – Bung Mokhtar

Biar kami jadi pembangkang – Bung Mokhtar

Bung Mokhtar Radin
Bung Mokhtar Radin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta berhenti menjadi ‘pembangkang’, sebaliknya lebih fokus memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara setelah menang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata, antara perkara utama yang perlu dilaksanakan oleh PH ialah mengotakan manifesto PRU lepas.

Jelas Bung Mokhtar, sudah tiba masanya Barisan Nasional (BN) dan wakil rakyat lain termasuk Pas menjadi pembangkang.

“Buat pertama kali selepas PRU, kita tidak ada sebarang demonstrasi. Semuanya aman. Yang kalah menerima kekalahan. Apa yang penting kini, biar kami menjadi pembangkang.

“Kerja membangkang adalah kerja kami. Kerja anda sebagai kerajaan adalah berusaha keras untuk rakyat. Kotakan janji yang telah ditaburkan ketika PRU lepas.

“Apabila kita kalah buat cara kalah, menang buat cara menang. Yang penting pertukaran ini ada kebaikan, itu saja.

“Rakyat mahu kerajaan berhenti sikap seperti pembangkang. Jadilah pemerintah yang adil dan saksama,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau yang sudah menjadi Ahli Parlimen selama lima penggal berkata, setiap wakil rakyat baharu dinasihatkan bukan sahaja bekerja keras malah diminta supaya tidak sombong.

“Apabila ada kuasa, buat cara ada kuasa. YB baharu ini jangan sombong dan ego sebab ada masa kita naik dan turun,” tegasnya.

Terdahulu, Timbalan Speaker, Nga Kor Ming memuji sikap Bung Moktar kerana versopan santun serta beradab ketika berbahas pada sidang kali ini berbanding sebelumnya.

Jelas Kor Ming, sikap Bung yang tidak mengunakan perkataan kurang sopan ketika berbahas perlu dikekalkan dan tidak hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan untuk sementara waktu.

“Berbanding penggal-penggal dulu ,kali ini saya ucap tahniah kepada YB (Kinabantangan).

“Cara beliau berucap ikut perintah tetap berhemah, jaga bahasa harus kekal hingga akhir penggal, jangan hangat-hangat tahi ayam,” ujarnya. – MalaysiaGazette