KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menafikan memaksa AirAsia Berhad untuk berpindah ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, sejak awal lagi Terminal 2 berfungsi sebagai terminal sementara bagi syarikat penerbangan tambang murah sehingga kemudahan di Terminal 1 dinaik taraf.
Jelas MAHB, sejak Terminal 1 siap pada tahun 2010, semua syarikat penerbangan tambah murah telah dipindahkan ke situ kecuali AirAsia pada tahun 2015, disebabkan keperluan pertumbuhan dan kapasiti syarikat berkenaan.
“Tidak pada bila-bila masa MAHB memaksa AirAsia berpindah ke Terminal 1,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
MAHB membuat kenyataan itu selepas Tan Sri Tony Fernandes yang bertemu dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan syarikat-syarikat penerbangan tambah rendah telah dipaksa keluar dari Terminal 2 tiga tahun lalu, sedangkan syarikat itu enggan berbuat demikian.
Pengasas AirAsia itu berkata, sejak berpindah ke Terminal 2 pada tahun 2015, syarikat penerbangan itu merekodkan pertumbuhan rata dan gagal merangsang sektor pelancongan Sabah.
Lantaran itu, Fernandes dilaporkan berkata, pihaknya kembali berbincang dengan agensi berkaitan, termasuk Kerajaan Negeri Sabah untuk menjadikan Terminal 2 sebagai terminal kos rendah.
Bagaimanapun, MAHB berkata, pertumbuhan trafik penumpang AirAsia di Terminal 2 yang sekitar 2.0 hingga 3.0 peratus pada tahun 2014 melonjak sebanyak 5.0 peratus pada tahun 2016 dan 11 peratus pada tahun lalu dan 15 peratus pada separuh pertama tahun ini.
Tambah MAHB, trend itu turut dirasai oleh syarikat penerbangan laluan antarabangsa yang lain dengan pertumbuhan sebanyak 39 peratus tahun ke tahun pada tahun 2016 dan 43 peratus tahun ke tahun pada tahun lalu.
Malah, perpindahan ke Terminal 1 itu telah meningkatkan pelancong antarabangsa ke Sabah sebanyak 9.4 peratus kepada 1.2 juta pelancong tahun lalu.
Jumlah kemasukan pelancong di Sabah bertambah 7.5 peratus kepada 3.7 juta pada tahun lalu berbanding 3.4 juta pada tahun sebelumnya.
Selain itu, menurut MAHB, Terminal 1 telah menarik enam syarikat penerbangan antarabangsa yang baharu.
Sehingga kini, sebanyak 25 syarikat penerbangan beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette