SHAH ALAM – Menang atau kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis tidak akan memberi kudis kepada Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan sebaliknya berkata, perpaduan dalaman parti lebih penting untuk memenangkan parti.
“Di Sungai Kandis menang atau tidak, tak jadi kudis kepada BN. Di mana saja kita berada, yang penting kita mesti bersatu.
“Banyak kita kalah bukan sebab isu, pembangkang, orang luar tapi pergeseran dalaman.
“Yang keruh tiada lagi, ambil yang jernih saja. Kita buat pakat buat elok-elok,” katanya berucap merasmikan Majlis Pengenalan Calon BN PRK Sungai Kandis di Kampung Sungai Kandis, di sini, malam ini.
Mohamad menegaskan, kekalahan UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu bukan kerana Pakatan Harapa kuat sebaliknya kerana perpecahan dalaman.
“Kalau berpecah-belah, tak payah orang luar, kita sendiri boleh pecah kerana orang dalaman,” katanya.
Katanya, PRK Sungai Kandis adalah penting sebagai medan latihan kepada jentera dan akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
“Kita nak pastikan supaya UMNO dan BN siap siaga menghadapi PRU15
“Latihan untuk jentera ambil bahagian dalam PRU15 adalah dari pilihan raya kecil.
“Beradat dalam perang, berunding dalam gelap sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata, jentera perlu pergi rumah ke rumah menyantuni rakyat untuk mengingatkan pengundi UMNO dan BN masih bernyawa.
“Kita sekarang ini ibarat kain putih tiada apa-apa isu.
“Kita kalah, buat cara orang sudah kalah. Pandai-pandai bawa diri supaya tidak jadi cemuhan orang ramai.
“Turunlah rumah ke rumah supaya orang sedar kita masih lagi hidup,” katanya. – MalaysiaGazette