ENGLAND- Bintang Manchester United, Wayne Rooney terus diasak spekulasi dan khabar angin bahawa dia bercadang untuk meninggalkan Old Trafford akhir musim ini.
Malah Rooney yang berusia 32 tahun didakwa kecewa tidak mendapat tempat dalam skuad kendalian pengurusnya, Jose Mourinho.
Terbaharu The Sun di England melaporkan kononnya ejen pemain itu, Paul Stretford berada di China untuk memuktamadkan penghijrahan Rooney ke Kelab Liga Super China.
Tabloid online itu secara eksklusif melaporkan kononnya kelab terkemuka Liga Super China bersedia menawarkan Rooney gaji £1juta (RM5.5 juta) seminggu.
Ia sekali gus akan meletakkan Rooney sebagai pemain berpendapatan tertinggi di dunia bola sepak memintas bekas pemain the Red Devils, Christiano Ronaldo, Carlos Tevez.
Difahamkan, ejenya, Paul Stretford telah mengadakan perbincangan bersama beberapa kelab Liga Super China untuk merealisasikan perpindahan Rooney.
Stretford didakwa telah terbang ke China beberapa hari lalu dan meluangkan masa di Tianjin wilayah kelab mewah Tianjin Quanjian.
The Sun juga melaporkan Stretford dilihat meninggalkan Hotel Renaissance di bandaraya Tianjin pada Selasa dipercayai mengadakan perbincangan dengan kelab China.
Jurucakap Tianjin Quanjian berkata; “Kami tidak mempunyai sebarang berita rasmi mengenai Rooney di peringkat ini”.
Bagaimanapun semalam Pengurus kelab itu, Fabio Cannavaro mengakui telah memujuk Rooney untuk menyertai kelabnya.
Tetapi perbincangan didakwa tidak berhasil selepas pemain antarabangsa England berusia 31 tahun itu tidak padan corak permainan kelab itu.
Sebuah kelab di China didakwa bersedia menawarkan pendapatan £650,000 seminggu selepas cukai untuk Rooney.
Namun, sumber The Sun berkata, Rooney gembira kekal di United sejak 13 tahun lalu dan bangga menjadi penjaring terbanyak kelab itu.
Namun Rooney tidak lagi menjadi pilihan kesebelasan utama Jose selain Mourinho tidak dapat mengesahkan masa depan pemain itu.
Tetapi rakan Rooney, Ashley Young, 31, pula dikaitkan dengan penghijrahan ke kelab China Shandong Luneng dengan nilai perpindahan £12 juta setahun dan berpendapatan £230,000 seminggu dengan kontrak bertempoh tiga tahun.-MalaysiaGazette