Home Utama Tun M salah fakta, kata Shahril

Tun M salah fakta, kata Shahril

Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mendakwa kenyataan Perdana Menteri mengenai hutang negara sekitar 1980-an dan 1990-an berbeza daripada fakta sebenar.

Shahril Hamdan, pada sidang Dewan Rakyat semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan lisan berkenaan pinjaman yang dibuat oleh kerajaan Jepun.

“Dalam jawapan yang diberikan, Perdana Menteri telah menyatakan bahawa hutang kerajaan pada tahun 1980-an dan 1990-an adalah kurang dari RM300 bilion atau bersamaan sekitar 27 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara pada masa itu.

“Saya telah membuat semakan dari data yang diperoleh dari laman web Kementerian Kewangan. Hasil semakan yang telah dibuat mendapati jawapan dari Perdana Menteri adalah jauh tersasar dari kebenaran sebenar.

“Walaupun benar hutang kerajaan sepanjang tempoh yang disebutkan Perdana Menteri tidak pernah melebihi RM300 bilion namun apabila dibandingkan dengan KDNK, Perdana Menteri ternyata telah memberi jawapan yang tidak benar dan mengelirukan,” ujarnya dalam status media sosialnya semalam.

Sebagai rekod, menurut Shahril, sepanjang tempoh kali pertama pentadbiran Perdana Menteri selama 22 tahun bermula tahun 1981 sehingga 2003, kadar hutang kerajaan berbanding KDNK yang paling rendah dicatatkan adalah pada tahun 1997 iaitu sebanyak 31.9 peratus.

Manakala rekod tertinggi yang dicatatkan adalah pada tahun 1986 iaitu sebanyak 103.4 peratus berbanding KDNK. Rekod 103.4 peratus ini juga adalah yang paling tinggi dalam sejarah semenjak tertubuhnya Malaysia, katanya.

“Berkenaan hutang luar persisir pula, tahun 1986 juga telah menjadi rekod tertinggi dalam sejarah apabila peratusan hutang luar persisir berbanding KDNK yang direkodkan sebanyak 39.5 peratus,” katanya lagi.

Justeru, Shahril memberitahu, Dewan Rakyat sepatutnya dijadikan tempat untuk kerajaan menyatakan kebenaran.

“Namun apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri pada pagi tadi adalah sangat mengecewakan. Jumlah 27 peratus yang disebut bukan sahaja tidak tepat malah boleh disifatkan salah secara mutlak dan terang,” dakwanya.

Menurutnya, Perdana Menteri dengan jelas telah mengelirukan Dewan dan bertentangan dengan Perkara 36(12) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan adalah disifat menghina Majlis Mesyuarat.

“Rakyat telah membuat keputusan untuk memberi mandat kepada kerajaan baharu. Sementara Barisan Nasional sedang dalam proses menjadi pembangkang yang berkaliber, saya juga mengharapkan kerajaan hari ini juga dapat mengangkat slogan ketelusan yang selama ini dilaungkan,” katanya.- MalaysiaGazette