SINGAPURA – Pengukuhan ekonomi global dan kenaikan harga minyak dijangka memacu kos tambang penerbangan dan kadar bilik hotel pada tahun depan.
Harga tambang kapal terbang diramal naik 2.6 peratus dan hotel pula 3.7 peratus.
Beberapa negara termasuk India, New Zealand, Norway, Jerman dan Chile, tambang udara diunjur naik lebih daripada 7 peratus, menurut Carlson Wagonlit Travel (CWT) dan Global Business Travel Association (GBTA).
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa pada bulan Jun lalu meramalkan tambang udara akan meningkat sebanyak 3.2 peratus tahun ini, kenaikan pertama sejak 2011 memandangkan ekonomi global lebih kuat, sekaligus memacu pertumbuhan permintaan.
CWT dan GBTA turut meramalkan kenaikan 3.5 peratus dalam tambang pada tahun 2018 dalam unjurannya pada tahun lalu.
Kos syarikat penerbangan termasuk harga minyak dan buruh telah meningkat, mendorong kenaikan harga tambang dan surcaj untuk mengekalkan margin.
CWT dan GBTA turut mengunjurkan kadar hotel turut naik dipacu oleh peningkatan permintaan untuk pengembaraan udara.
Kadar bilik dijangka naik lebih 5 peratus di Asia dan Eropah, Amerika Utara 2.1 peratus tetapi susut sebanyak 1.3 peratus di Amerika Latin.
Kumpulan Hotel Accor SA dan Marriott International Inc memaklumkan pertumbuhan kukuh dalam pendapatan bagi setiap bilik di Asia dan Eropah tahun ini. – MalaysiaGazette