Home Utama Aduan ibu bapa dorong ‘migrasi guru’ ke luar bandar

Aduan ibu bapa dorong ‘migrasi guru’ ke luar bandar

Ibu bapa di sekolah besar terdiri daripada peguam, doktor dan jurutera. Mereka akan mencari cikgu jika pendidik itu melakukan kesilapan kecil.
Pelbagai masalah juga dihadapi oleh guru.- Gambar hiasan

PETALING JAYA – Susulan pendedahan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengenai kekurangan guru di bandar besar, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula memberitahu bahawa pelbagai faktor menyumbang kepada keadaan itu.

Setiausaha NUTP, Harry Tan berkata, selain kos dan tekanan yang tinggi, kesukaran mendapatkan pengasuh juga mendorong keluarga guru memilih untuk berpindah ke kawasan luar bandar.

Selain itu, masalah kesesakan lalu lintas dan tekanan mengajar di sekolah besar terutama di bandar besar di Selangor dan Johor juga mendorong ‘migrasi’ cikgu dari bandar ke luar bandar.

“Ibu bapa di sekolah besar terdiri daripada peguam, doktor dan jurutera. Mereka akan mencari cikgu jika pendidik itu melakukan kesilapan kecil.

“Dalam sesetengah kes, kesilapan cikgu akan didedahkan melalui media malahan ada yang diheret ke mahkamah. Keadaan ini memberi tekanan besar kepada cikgu,” katanya kepada Sinchew Daily.

Tambah Harry, sebagai insan biasa, cikgu tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan, tetapi terdapat ibu bapa di bandar besar yang suka mengadu atas perkara remeh.

Menurut Harry lagi, isu pengasuh merupakan satu lagi penyumbang kepada migrasi cikgu.

“Di pekan kecil, mereka dengan senangnya dapat mencari pengasuh berhampiran dengan sekolah. Keadaan ini memudahkan mereka mengambil anak selepas habis kerja,” katanya sambil menambah isu keselamatan merupakan satu lagi faktor penolak untuk cikgu tidak bertugas di bandar besar.

Menteri Pendidikan sebelum ini memberitahu, masalah kekurangan guru semakin meruncing di bandar utama negara, terutama di Johor dan Selangor berikutan ramai guru dalam perkhidmatan memilih kembali ke tempat asal untuk bertugas.

Kos sara hidup tinggi di bandar besar dikenal pasti antara faktor menyebabkan ramai guru kembali ke kampung halaman untuk mengajar.

Banyak guru dilaporkan memohon keluar dari bandar besar untuk kembali bertugas di kawasan asal mereka termasuk di Kelantan, Kedah serta Perlis. – MalaysiaGazette