KUALA LUMPUR – Antara syarat serta pendirian oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu bagi mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) ialah lulus subjek Bahasa Malaysia dan Sejarah.
Menurut bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, UEC sebenarnya layak diiktiraf dengan syarat lulus kedua-dua subjek penting itu.
Bagaimanapun, jelas Ahli Parlimen Besut itu, sehingga kini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menjelaskan pendirian tentang syarat tersebut.
“Ini sangat berbeza kerana dahulu kita sudah bersetuju untuk mengiktiraf UEC bukan sahaja perlu lulus Bahasa Melayu tetapi juga dalam subjek Sejarah.
“Tetapi sehingga kini, ini tidak pula dikatakan oleh PH dan pengunaan Sejarah ini pernah diluluskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri ketika beliau masih menjawat jawatan Menteri Pendidikan. Ini sahaja bezanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.
Kerajaan hari ini mengiktiraf UEC merupakan salah satu janji manifesto PH supaya boleh digunakan untuk memasuki institusi pendidikan tinggi awam dengan syarat pemohon mempunyai kredit dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM.
Idris dalam pada itu menambah, kedua-dua subjek itu sebenarnya penting terutama Sejarah kerana seseorang itu akan lupa jati diri tanpa mengenali atau memahami sejarah negara.
“Sejarah Malaysia perlu lulus dan itu adalah objektif utama. Sebagai warganegara, kita perlu tahu dan arif tentang subjek itu. Jika hendak jadi warganegara Amerika Syarikat (AS) sekalipun, dia perlu tahu sejarah AS,” ujarnya. –
UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina sejak 1975 dengan sukatan pelajarannya dibangunkan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) apabila sekolah Cina enggan menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti kerajaan dan bekerja di sektor awam negara ini kerana UEC tidak diiktiraf kerajaan persekutuan. –MalaysiaGazette