Home Utama Sudah ada beberapa kem menjelangnya pemilihan PKR – Zuraida

Sudah ada beberapa kem menjelangnya pemilihan PKR – Zuraida

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Ampang, Yb Zuraida Kamaruddin hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Ampang, Yb Zuraida Kamaruddin hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin ‘panas’ apabila Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin mengakui sudah wujud beberapa kem ketika ini.

Kata Ahli Parlimen Ampang itu, kewujudan beberapa kem bagi memilih pemimpin tertentu untuk menerajui parti adalah sesuatu yang biasa terutama menjelang pilihan raya.

“Jika mahu lawan, sudah tentu ada beberapa kem. Ini adalah perkara biasa untuk sesebuah parti politik dalam mengamalkan amalan sistem demokrasi sebenarnya.

“Jika tidak ada semua ini, tidak ada lawanlah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, kewujudanan beberapa kem menunjukkan ada pertandingan dalam pemilihan parti dan ia merupakan persaingan yang sihat dan demokrasi.

“Ini sebenarnya sangat sihat. Dalam mengamalkan dasar demokrasi, pertandingan adalah baik. Masa bertanding lawan tetapi selepas itu jadi kawan balik,” ujarnya.

Ini bercanggah dengan pengakuan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini menafikan wujudnya dua kem dalam perebutan jawatan dalam parti bulan Ogos ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga pernah mendakwa wujud 2 kumpulan yang mahu Wan Azizah berundur dan memberi laluan kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan persediaan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan akan bersaing dengan Anwar Ibrahim bagi merebut jawatan Presiden namun perkara itu dinafikan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, Muhammad Hilman Idham di lobi Parlimen minggu lalu.

Sementara itu, menurut Zuraida, beliau belum memutuskan untuk bertanding dalam pemilihan PKR pada bulan depan.

“Tarikh pencalonan sudah ditunda dari 29 Julai ke 5 Ogos, ada masa. Beri saya masa untuk pertimbangkan tentang jawatan ini. Ianya perlu berdasarkan kepentingan dan keperluan,” katanya. – MalaysiaGazette