Home Nasional Dua pegawai kanan BTN antara lima ditahan buat tuntutan palsu

Dua pegawai kanan BTN antara lima ditahan buat tuntutan palsu

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Dua pegawai Biro Tatanegara (BTN) berpangkat Penolong Pengarah Kanan antara lima individu yang dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Sarawak hari ini.

Mereka ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu melibatkan wang berjumlah kira-kira RM600,000.

SPRM berkata, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita yang berusia antara 34 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pada pukul 4.30 petang di Pejabat SPRM Sarawak selepas hadir untuk memberi keterangan dalam kes tersebut.

“Tiga daripada individu terbabit pernah berkhidmat di BTN Sarawak namun kini telah berpindah ke jabatan lain serta bersara.

“Mereka dipercayai telah bersubahat dengan 43 buah syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.,” menurut sumber SPRM dalam kenyataan hari ini.

Jumlah tuntutan bagi satu-satu kerja dianggarkan bernilai antara RM2,000 hingga RM6,000.

Tambah sumber itu, kesemua pembayaran telah dibuat ke dalam beberapa akaun pemilik syarikat pada tahun 2016.

Kelima-lima suspek dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang dipilih mereka.

Menurut SPRM, siasatan juga mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat terbabit kepada BTN tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

Kelima-lima suspek yang mempunyai kawalan ke atas akaun BTN dipercayai telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.

Sementara itu Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan kelima-lima individu itu untuk tindakan sewajarnya.

Tegas beliau, SPRM Sarawak kini dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen berhubung pembayaran yang dibuat itu untuk siasatan lanjut kes tersebut.

“Kelima-lima suspek ditangkap bagi membantu siasatan awal mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Mereka dijangka direman di Mahkamah Majistret Kuching esok,” kata beliau. – MalaysiaGazette