KLANGĀ – Barisan Nasional (BN) mensasarkan 80 peratus undi yang diperolehi wakil Pas Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memenangkan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
Calonnya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tindakan Pas yang memberi laluan kepada BN dalam memastikan pertandingan satu lawan satu PRK Sungai Kandis merupakan isyarat awal bagi memastikan calon Pakatan Harapan (HP) ditewaskan.
“Pas hari ini bersolidariti dengan kita untuk memastikan kekalahan PH. Kalau kita boleh dapat 80 peratus undi rakan-rakan Pas pada PRU14 itu sudah kira bagus.
“Kita cuma perlu tarik lagi 17 peratus orang-orang kita yang mengundi PH dan teman-teman dalam PH sendiri yang kecewa dengan apa dilakukan oleh pimpinan mereka.
“Kita juga perlukan bantuan daripada kawan-kawan yang tidak keluar mengundi untuk mengundi kita kali ini,” katanya berucap dalam Ceramah Penerangan BN PRK N49 Sungai Kandis di Taman Sri Andalas, di sini, malam ini.
Lokman juga mengakui kerusi DUN Sungai Kandis yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei sejak PRU12 pada 2008 agak sukar dimenangi, namun beliau optimis untuk memastikan majoriti undi calon PH dapat dikurangkan.
“Kalau tak menang sekurang-kurangnya kita dapat tarik beribu-ribu pengundi dan pastikan majoriti undi beribu PH dapat dikurangkan,” katanya. – MalaysiaGazette