Home Nasional Malaysia utamakan kestabilan keamanan dalam isu Laut China Selatan

Malaysia utamakan kestabilan keamanan dalam isu Laut China Selatan

Datuk Saifudin Abdullah.
Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pendirian Malaysia berhubung konflik Laut China Selatan masih sama iaitu mengutamakan kestabilan serta keamanan negara walaupun kerajaan telah berubah.

Antaranya Malaysia tidak sesekali akan melakukan sebarang provokasi tetapi mengendalikan setiap isu dengan memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.

Menteri Luar, Datuk Saifudin Abdullah berkata, namun kerajaan juga tidak akan berkompromi seandainya berhadapan dengan sebarang tindakan mengancam kedaulatan negara.

“Ini adalah satu isu yang sangat kompleks, kita perlu menanganinya secara menyeluruh dan komprehensif, perlu beri kepentingan terhadap perkara penting termasuk keamanan, keselamatan dan kestabilan negara. Perlu beri dan hormat kebebasan pelayaran serta penerbangan.

“Semua pihak juga perlu mengelak daripada ketegangan atau sifat provokatif, selain mengelak sebarang tindakan ketenteraan.

“Selain itu, semua tuntutan dan penyelesaiannya perlu berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk konvensyen Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNCLOS) berkaitan undang-undang Laut 1982,” katanya.

Beliau mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tentang pendirian kerajaan terhadap tindakan China yang menubuhkan pangkalan tentera dilengkapi sistem peluru berpandu di Kepulauan Sparatly, Laut China Selatan serta sejauh manakah konflik di kepulauan tersebut mampu memberikan ancaman terhadap keamanan rantau ini.

Tambah Saifuddin, pihaknya akan mengkaji semula Kerangka Kod Tata Laku (CoC) di Laut China Selatan yang sedang dirunding antara China dan ASEAN.

“Kita tidak akan sesekali berkompromi di dalam perkara yang menjejaskan keutuhan wilayah, kedaulatan dan kepentingan negara,” tegasnya.

Isu perluasan pengaruh di rantau Asia Pasifik yang menggunakan isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan hanya melibatkan dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China sahaja.

Walaupun empat negara Asean iaitu Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei turut terlibat secara langsung dalam tuntutan gugusan Kepulauan Spratly dan Paracel di perairan tersebut, tetapi hakikatnya adalah hanya AS dan China yang mewarnai geopolitik Laut China Selatan.

Namun kini bukan sahaja dua kuasa besar itu yang terbabit namun penglibatan United Kingdom (UK), Perancis, Australia dan Jepun juga telah merumitkan lagi isu ini. – Malaysia Gazette