KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengesahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr P Ramasamy sudi untuk mengadakan pertemuan.
Menurutnya, pertemuan antara kedua-dua individu itu akan diadakan di pejabatnya di Putrajaya pada akhir bulan ini, namun dilakukan secara tertutup.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk bertemu dan saya sebagai orang tengah dan pertemuan itu diadakan secara tertutup.
“Kalau dibuat secara terbuka, kesannya lebih buruk. Yang penting bagi saya bukan sensasinya tetapi penyelesaian ke arah itu,” katanya kepada media di Lobi Parlimen hari ini.
Pertengahan Julai lalu, Dr Maza mendesak P Ramasamy menjawab dakwaan dikaitkan dengan kumpulan militan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).
Dakwa Maza, rakyat bimbang sekiranya wujud mana-mana kumpulan terlibat dengan kumpulan pengganas di negara ini.
Justeru itu, beliau mencadangkan satu debat bertajuk ‘Who Is The Real Terrorist’ diadakan di antara Dr Zakir Naik dan Dr P. Ramasamy.
Cadangan itu adalah atas semangat Malaysia Baharu yang terbuka dan telus dalam membuat penilaian polemik di antara pendakwah Islam dan pemimpin DAP itu, katanya.
Mengulas lanjut Mujahid berkata, pertemuan itu perlu diadakan bagi memastikan tuduhan dan dakwaan di media sosial dapat dinafikan dan diselesaikan segera.
“Selagi mereka tidak bertemu, selagi itulah tular tuduhan pelbagai tanggapan.
“Saya mengharapkan pertemuan enam mata antara kami dapat tamatkan semua tuduhan liar selama ini,” katanya. – MalaysiaGazette