Home Utama Kempen PRK Sungai Kandis, UMNO tidak perlu kewangan banyak – Najib

Kempen PRK Sungai Kandis, UMNO tidak perlu kewangan banyak – Najib

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak bersama calon BN Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam (kanan) beramah mesra dengan seorang penduduk, Norazimah Jalmo (tengah) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2018.
Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak bersama calon BN Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam (kanan) beramah mesra dengan seorang penduduk, Norazimah Jalmo (tengah) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis di Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2018.

SHAH ALAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk kempen calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO dan BN menggunakan pendekatan baharu iaitu mesra rakyat serta mendekati masyarakat menerusi kempen rumah ke rumah dan perjumpaan dalam majlis kecil-kecilan.

“Kita tidak perlu wang yang banyak dalam kempen ini. Kita hanya memerlukan wang yang paling minimum sahaja.

“Manakala semua jentera, termasuk calon, kita menggunakan pendekatan lebih mesra rakyat, mendekati dan menyentuh hati rakyat,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout rumah ke rumah dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kandis, dekat sini, hari ini.

Turut bersama beliau, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Timbalan Pengerusi Badan Perhububungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan; calon BN, Datuk Lokman Noor Adam; Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari serta barisan kepimpinan tiga sayap parti.

Menantu beliau, Daniyar Kessikbayev dan anaknya, Nooryana Najwa turut bersama jentera UMNO dan BN turun berkempen di 10 rumah penduduk dalam DUN Sungai Kandis.

Ditanya mengenai penglibatan parti komponen BN dalam membantu kempen calon, Najib yang merupakan bekas Pengerusi BN memberitahu, pemimpin tempatan MIC ada terlibat dalam kempen itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau faham keadaan MIC sekarang yang berlaku peralihan kuasa pucuk kepimpinan selepas BN kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dan MIC yang hanya mampu memenangi satu kerusi Parlimen.

“MIC ada (bantu kempen), tapi kita faham selepas BN mengalami kekalahan, dan mereka pula kini dalam proses muhasabah diri, yang mana kepimpinannya sudah beralih kepada yang baharu.

“Kita bagi masa kepada mereka untuk pulihkan semula semangat mereka yang kini dalam proses pemilihan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden,” katanya.

Berhubung dakwaan pihak tertentu, kononnya UMNO memperjuangkan nasib satu kaum sahaja, Najib menafikan tuduhan itu kerana sepanjang parti itu mengetuai BN, kerajaan tidak pernah berlaku penyisihan kaum.

“Itu kita nafilah, sebab kalau kita tengok dalam sejarah Malaysia, sejak merdeka lagi negara kita, Perlembagaan kita, memang kita amalkan konsep semua kaum.

“Kalau ada bantuan lebih kepada orang Melayu, itu disebabkan Melayu adalah majoriti dan ketinggalan dari segi hasil legasi sejarah sejak penjajah dulu,” ujarnya. – MalaysiaGazette