PUCHONG – Kerajaan akan mengeluarkan satu garis panduan dan polisi perumahan awam baharu selaras dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan pada 1 September ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, ia merupakan inisiatif kementeriannya dan perkara itu akan diumumkan selepas selesai kajian ke atas implikasi kos SST terhadap harga rumah yang sedang berjalan ketika ini.
Menurutnya, kajian tersebut termasuk melihat perbezaan antara kos perumahan awam sedia ada dengan kos selepas SST.
“Polisi dan konsep perumahan awam ini mengambil kira implikasi kos itu. Jadi, KPKT sedang mengkaji implikasi kos, kos yang ada sekarang, apa komponennya.
“Dari situ saya akan buat perbezaan dan keluarkan satu garis panduan kos rumah awam. Garis panduan akan dikeluarkan sekali dengan polisi perumahan awam itu.
“Sekarang Dasar Perumahan Negara sudah siap. Cuma, saya sedang menyediakan satu dasar perumahan awam KPKT. Perdana Menteri minta saya cepatkan juga. Jadi, saya rasa, dalam bulan sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Kompleks Sukan Wanita di Bandar Bukit Puchong di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zuraida berkata, harga perumahan awam boleh diturunkan dengan adanya sistem yang telus dan berkesan.
Dalam perkembangan lain, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, hanya kerajaan negeri Selangor memberikan maklum balas terhadap penyediaan tanah bagi projek perumahan mampu milik setakat ini.
Ujarnya, beliau akan membuat cadangan bertulis kepada negeri lain termasuk di bawah pentadbiran parti pembangkang.
“Yang (negeri) lain saya tidak dengar lagi. Saya akan berhubung atau menulis kepada semua Menteri-Menteri Besar untuk mempertimbangkan perkara ini.
“Untuk menurunkan harga rumah, tanah mesti disediakan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri yang tawarkan saya dahulu, saya akan ambil dulu.
“Ini kerana kita tidak mahu golongan B40 tinggal di tempat yang tiada kemudahan sekolah, pengangkutan dan pekerjaan, yang menyulitkan kehidupan mereka. Jadi, kriteria kita ialah, tanah kerajaan negeri mesti ada kemudahan,” jelasnya.
Menurut Zuraida, beliau akan memastikan tanah yang ditawarkan mempunyi sistem rangkaian jalan dan kemudahan.
Malah, kementeriannya telah berbincang dengan Bank Negara Malaysia bagi menyediakan satu formula yang memudahkan pinjaman dan pemilikan rumah mampu milik, kata Zuraida. – MalaysiaGazette