KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini jelas menyokong langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneliti semula Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Katanya, langkah Putrajaya untuk berbuat demikian disambut baik kerana dasar itu perlu dikemaskini agar sesuai dengan peredaran masa.
“Saya rasa ia idea yang bagus. Apa juga dasar boleh dikemaskini. Tiada apa yang kekal. Perkara itu biasa. Ini kena ikut peredaran masa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Razaleigh atau Ku Li adalah antara Ahli Parlimen pembangkang pertama yang dilihat menyokong langkah kerajaan PH.
Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Putrajaya sedang meneliti semula DEB dengan tidak akan mengenetepikan hak bumiputera.
Beliau berkata, penelitian semula DEB dan Model Ekonomi Baru (MEB) akan tetap adil terhadap keperluan semua kaum lain di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, apa sahaja dasar yang dilakukan kerajaan, ia berdasarkan keperluan menyeluruh dan bukan mengikut kaum.
Malah Mohamed Azmin berkata, dasar baharu yang lebih responsif kepada aspirasi rakyat akan digubal berdasarkan keperluan dan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara.
Mengulas lanjut, Ku Li itu berkata, penelitian yang direncanakan harus berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan.
“Ia bergantung kepada pendekatan yang direncanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette