KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau pernah tiga kali menawarkan jawatan kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ujarnya tiga tawaran itu dibuat sebelum dan selepas pemilihan UMNO berakhir 30 Jun lalu di mana Khairy menjadi salah seorang pesaingnya untuk jawatan presiden parti.
“Pertama sekali tawaran saya beri sebelum pemilihan. Saya tawarkan dia jawatan Naib Presiden sebab Hishamuddin tidak bertanding. Dia mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden.
“Tapi akhirnya dia bertanding kerusi Presiden. Selepas dia kalah, saya tawarkan jawatan Setiausaha Agung BN, tapi dia tolak juga.
“Sebelum pengumuman harian baharu UMNO, saya tawarkan beliau buat kali ketiga sebagai Ketua Penerangan. Ditolak juga,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Ketiga-tiga jawatan itu adalah kerusi Naib Presiden UMNO, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Ketua Penerangan UMNO.
Ujarnya, tawaran itu bagi memastikan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu dapat mencurahkan pengalaman beliau dalam memastikan parti itu bangkit kembali selepas kalah teruk pada PRU-14.
“Saya tidak melihat kepada alasan tetapi jika ada tawaran yang bagus untuk menghidupkan semula UMNO, itu yang perlu beliau nyatakan.
“Barang kali dia ada pelan lain untuk bangkitkan UMNO semula sebagai parti politik dan mainkan peranan yang membina sebagai pembangkang,” katanya lagi.
Pada pemilihan UMNO lalu, Ahmad Zahid memperoleh 93 undi sekali gus mengatasi Khairy dengan 51 undi dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang hanya meraih 23 undi bahagian. -MalaysiaGazette