Home Nasional Tiada keperluan sedia penginapan untuk jemaah transit, kata TH

Tiada keperluan sedia penginapan untuk jemaah transit, kata TH

KUALA LUMPUR, 11 Julai -- Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pada sidang media berkaitan pelepasan bakal Jemaah Haji laksana Proses Pra-Perlepasan Jemaah Haji Musim 1439 Hijrah di Menara TH hari ini. Penerbangan pertama akan berlepas pada 14 Julai nanti dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Seramai 30200 jemaah akan menunaikan rukun Islam ke lima dengan menaiki 81 penerbangan. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEPANG – Tiada keperluan untuk Lembaga Tabung Haji (TH) menyediakan kemudahan penginapan percuma bagi “jemaah transit” kerana penambahbaikan perkhidmatan telah dilakukan bermula musim haji tahun ini.

Pengurus Besar Kanan TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata antara penambaikan yang dilakukan termasuk penerbangan transit terus dari lapan stesen berlepas lain.

“Kini bakal jemaah transit daripada stesen lain tidak perlu keluar dari KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) ke Kompleks TH Sepang kerana penerbangan mereka akan diteruskan dengan penerbangan sewa khas ke Tanah Suci,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pada musim-musim haji terdahulu, TH menyediakan kemudahan penginapan percuma di Kompleks TH Kelana Jaya kepada para bakal jemaah haji transit dari stesen lain atas kekangan penerbangan atau jadual penerbangan transit awal yang melebihi satu hari sebelum mereka bertolak ke Tanah Suci.

“Pada musim ini TH telah bekerjasama dengan Malaysia Airlines untuk mengatur jadual penerbangan jemaah dari stesen lain ke KLIA. Ini akan membolehkan bakal jemaah hanya perlu menunggu dua ke tiga jam sebelum berlepas ke Tanah Suci,” katanya.- BERNAMA