Home Nasional Royalti minyak: GPS tuntut janji PH Sarawak

Royalti minyak: GPS tuntut janji PH Sarawak

Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bercakap pada sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.
Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bercakap pada sidang media di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggesa Pakatan Harapan (PH) Sarawak menjelaskan pendirian mereka berhubung hasrat meningkatkan royalti minyak kepada 20 peratus daripada pengeluaran dan bukan keuntungan.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana wujud percanggahan dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bahawa 20 peratus yang dimaksudkan adalah daripada keuntungan dan bukan pengeluaran.

“Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen yang juga Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Sarawak belum mempersetujui penurunan kuasa yang ditawarkan Putrajaya.

“Selain tu, beliau turut mendakwa Kerajaan Negeri Sarawak tidak menjelaskan pendirian mereka mengenai perkara itu. Ini adalah dakwaan yang tidak berasas,” kata Fadillah pada sidang media di Parlimen.

Hadir sama Datuk Sri Nancy Shkri (Batang Sadong) dan Datuk Rohani Abdul Karim (Batang Lupar).

Tambah Fadhilah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Chieng Jen telah mengkhianati janji kepada rakyat Sarawak jika beliau mengubah pendirian.

“Apa yang jelas adalah harapan rakyat Sarawak daripada kerajaan adalah untuk menunaikan janji pemberian royalti 20 peratus berdasarkan hasil pengeluaran dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis,” ujarnya. – MalaysiaGazette