SHAH ALAMĀ – Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis tidak memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN) bahkan hanya menimbulkan kemarahan rakyat.
Calon PKR bagi PRK Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kehadiran bekas Presiden UMNO itu tidak menguntungkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam malah memburukkan keadaan apabila ada program terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
“Saya tak tahu strategi mereka ini sama ada menguntungkan mereka atau menguntungkan saya.
“Tetapi saya yakin kedatangan bekas Perdana Menteri itu akan menambahkan sokongan kepada saya kerana penolakan rakyat kepada Najib jelas.
“Apabila Najib turun (kempen), mereka tidak jadi melawat ke tempat tersebut kerana penduduk di situ tidak mengalu-alukan ketibaan beliau. Secara tidak langsung ia memberi sedikit kelebihan kepada saya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengulas kehadiran Najib selaku Ahli Parlimen Pekan yang tidak disenangi penduduk tempatan hingga menyebabkan mereka terpaksa membatalkan lawatan berkenaan di Kampung Sungai Kandis, semalam.
PRK Sungai Kandis diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Subang, kira-kira 11.20 pagi, pada 2 Julai lalu.
Pilihan raya kali ini memperlihatkan pertembungan tiga penjuru membabitkan Mohd Zawawi, Lokman dan calon Bebas, K Murthy. – MalaysiaGazette