Home Politik Pas boleh dorong, tapi akar umbi tetap undi saya – Zawawi

Pas boleh dorong, tapi akar umbi tetap undi saya – Zawawi

Mohd Zawawi Ahmad Mughni
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Jalan Bukit Kemuning, Seksyen 34, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 26 JULAI 2018

SHAH ALAMĀ – Pas boleh mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis namun pemimpin parti Islam itu di peringkat akar umbi lebih sayangkan anak tempatan daripada orang luar.

Demikian kata calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni sambil menegaskan kebanyakan pimpinan dan ahli Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sudah menyatakan kesediaan untuk memberi undi kepada beliau pada 4 Ogos ini.

“Mereka menyatakan sokongan secara belakang tetapi tidak secara terbuka. Ini menjadikan saya yakin bahawa ramai penyokong Pas dengan latar belakang saya mereka yakin bahawa ini adalah pimpinan pilihan yang mereka akan undi.

“Apabila bertemu dengan pimpinan-pimpinan Pas di peringkat akar umbi, mereka kebanyakannya rakan-rakan saya juga, rakan-rakan belajar, rakan dalam kerja dakwah dan kemanusiaan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PKR, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz semalam yang mengakui parti itu mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada PRK Sungai Kandis.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan dilaporkan berkata PH perlu dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis kerana masih gagal menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terutama yang terkandung dalam janji 100 hari.

Mohd Zawawi berkata, selain Pas, beliau juga menerima sokongan dalam kalangan UMNO untuk memenangkan beliau dalam pilihan raya kali ini.

“Secara peribadi mereka menyatakan sokongan termasuk bukan Pas saja, dalam tempoh terdekat, ada yang telefon dan ada yang berjumpa secara tidak rasmi.

“Mereka membuat perbandingan calon yang ditawarkan, kerana DUN Sungai Kandis adalah majoriti Melayu.

“Mereka mahukan anak tempatan yang tahu tentang denyut nadi dan masalah mereka, masalah infra seperti jalan raya dan parti itu perlu dibandingkan daripada calon luar,” katanya. – MalaysiaGazette