Home Nasional Tumpahan minyak dari plaza tol Juru ke Perai

Tumpahan minyak dari plaza tol Juru ke Perai

GEORGE TOWN – Sebuah lori tangki dengan muatan minyak sawit mengalami kebocoran ketika dalam perjalanan ke kilang menyebabkan lorong kiri Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Plaza Toll Juru hingga ke Perai terpaksa ditutup beberapa jam untuk kerja-kerja pembersihan.

Exco Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ini semasa pemandu lori tersebut sedang dalam perjalanan membawa muatan minyak ke kilang di Perai.

“Tanpa disedari pemandu, lori muatan minyak kelapa sawit telah dipercayai bocor dan mengakibatkan minyak tumpah sepanjang perjalanan dari plaza tol Juru sehingga ke kilang di Perai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah sampai di tempat kejadian beberapa minit kemudian dan memulakan kerja-kerja pembersihan dengan semburan air tetapi tidak berjaya malah menjadikan keadaan bertambah licin.

“Pihak bomba mencuba beberapa kaedah seperti mengguna minyak petrol, bahan kimia Degreaser dab habuk kayu dalam kerja-kerja pembersihan sebelum tindakan pembersihan itu selesai 4 petang tadi,” katanya.

Tindakan pantas JPBM Majlis Perbandaran Seberang Perai, Polis Diraja Malaysia dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung, telah membantu dalam mengawal keadaan trafik di tempat kejadian. — BERNAMA